NEW YORK: Calon presiden Amerika Syarikat (AS) dari parti Republikan, Donald Trump membatalkan temu bual televisyen di saluran CBS, umum program "60 Minutes" di platform X pada Rabu, lapor Aagensi Berita Jerman (dpa).

Jurucakap kempen Trump, Steven Cheung, menafikan dakwaan bekas presiden itu bersetuju untuk menyertai temu bual itu, dengan menulis di X bahawa "terdapat perbincangan awal, tetapi tiada apa-apa yang dijadualkan atau disahkan."

Program itu juga menyatakan bahawa calon Demokrat, Kamala Harris akan tampil seperti yang dirancang dalam siaran pada Isnin dan jemputan asal untuk Trump masih terbuka.

Program "60 Minutes" menyatakan bahawa ia telah menemu bual calon presiden selama lebih 50 tahun.

Bagaimanapun, Cheung berkata CBS telah menegaskan semakan fakta secara langsung untuk program tahun ini, yang dianggap "tidak pernah berlaku sebelum ini."

Harris dan Trump bertanding dalam pilihan raya presiden AS pada 5 Nov. Berikutan debat televisyen yang dihoskan oleh saluran ABC pada 10 Sept, Harris menyeru untuk debat kedua, manakala Trump menyatakan bahawa beliau tidak berhasrat untuk mengambil bahagian dalam debat seterusnya.

-- BERNAMA