Anwar turut dijangka menerima anugerah penghormatan tertinggi Pakistan kepada pemimpin luar iaitu Nishan-e-Pakistan, atas ketokohan beliau memupuk hubungan dua hala antara Malaysia dan Pakistan ke tahap lebih lebih baik.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Datuk Mohammad Azhar Mazlan berkata, lawatan Anwar atas jemputan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, akan membuka lembaran baharu hubungan diplomatik Malaysia dan republik berkenaan yang terjalin sejak 1957.
“Hubungan ini ditarifkan sebagai satu hubungan persaudaraan akrab antara kedua-dua negara Islam berlandaskan prinsip saling menghormati antara satu sama lain, dan hubungan rakyat ke rakyat yang rapat.
“Adalah dijangkakan lawatan ini akan meningkatkan lagi kerjasama dan hubungan dua hala sedia ada ke tahap yang lebih tinggi, serta memberi peluang kepada Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin Pakistan untuk turut membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa,” katanya dalam sidang media di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, pelbagai program diatur dalam kunjungan Anwar selama tiga hari, antaranya perbincangan dua hala bersama Shehbaz, selain pertemuan dengan tokoh indusri Pakistan serta Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia-Pakistan.
Anwar juga dijadualkan akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari.
Mengulas lanjut, Mohammad Azhar berkata, Pakistan melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dinamik dan progresif, yang boleh dicontohi dari segi kepimpinan dan pembangunan ekonomi.
Justeru katanya, lawatan Perdana Menteri ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan diplomatik, malah meneroka lebih banyak peluang perdagangan serta pelaburan antara kedua-dua negara.
Jumlah dagangan antara Malaysia dan Pakistan mencecah RM7.84 bilion (AS$1.4 bilion) pada 2023.
Antara barangan didagangkan ialah minyak sawit, pakaian, tekstil, produk kimia, serta peralatan elektrik dan elektronik.
Dalam kalangan negara Asia Selatan, Pakistan merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia.
Malaysia pula adalah rakan dagangan ke-14 terbesar dan destinasi eksport ke-14 terbesar Pakistan, serta sumber import ke-15 terbesar.