THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang berpangkalan di The Hague mengumumkan pada Selasa bahawa presidennya, hakim Nawaf Salam telah meletak jawatan susulan pelantikannya sebagai Perdana Menteri Lubnan, lapor Xinhua.

Salam yang memegang jawatan sebagai Presiden ICJ pada 2024, secara rasmi meletak jawatan sebagai anggota mahkamah itu berkuat kuasa serta-merta, menurut kenyataan akhbar ICJ. Tempohnya sebagai hakim dan presiden pada asalnya dijadual berakhir pada 5 Feb 2027.

"Selaras dengan Artikel 14 Statut Mahkamah, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan menetapkan tarikh pemilihan penggantinya oleh Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan," menurut kenyataan itu. Hakim yang baru dipilih akan menjalani baki penggal Salam.

Sebelum menyertai ICJ, Salam pernah berkhidmat sebagai Duta dan Wakil Tetap Lubnan ke PBB di New York dari Julai 2007 hingga Disember 2017.

Kini dinamakan sebagai Perdana Menteri Lubnan, Salam diberi mandat untuk membentuk kerajaan baharu bagi negara itu.

-- BERNAMA