KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM8 juta bagi menampung kos projek membina dan menyiapkan sebuah pusat dialisis bagi Yayasan Sultan Kelantan Darul Naim.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu disalurkan melalui Jabatan Kerja Raya Kelantan.

Beliau berkata perkara itu juga telah dipersembah kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V semasa sesi menghadap baginda di Istana Negeri, Kubang Kerian hari ini.

"Semoga dengan kelulusan ini dapat membantu dalam penyediaan infrastruktur yang kondusif dan selamat untuk kegunaan rakyat yang memerlukan di Negeri Kelantan," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama para peniaga di Pasar Besar Siti Khadijah di sini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Anwar juga meminta masyarakat di Kelantan agar mengurangkan pengambilan gula dalam makanan dan minuman kerana ia sudah menjadi masalah yang besar di negeri itu.

"Saya minta ia dikurangkan kerana ia sudah menjadi masalah yang besar terutama di Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan yang bersaing siapa yang dapat penyakit yang lagi banyak.

"Kalau di Kelantan tiada gula tidak boleh. Satu Malaysia tidak ada yang makan roti canai dengan gula tetapi di Kelantan sebaliknya. Saya juga difahamkan mengenai pusat dialisis di Kelantan ini mempunyai rekod kencing manis yang tinggi kerana gula lebih.

"Jadi saya harap di pasar ini (Pasar Besar Siti Khadijah), kalau menjual kuih tolong kurangkan gula kerana Malaysia merupakan negara paling tinggi penyakit diabetik di Asia," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata Malaysia bersaing dengan Filipina pada kedudukan pertama dan kedua bagi penyakit diabetik di Asia iaitu sesuatu yang bukan boleh dibanggakan.

"Kita bukan menang oskar tetapi menang penyakit diabetik. Oleh itu, saya harap kita mulakan di sini (mengurangkan pengambilan gula) sebab di Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Perdana Menteri makan minum semua turun gula, tinggal 20 peratus sahaja atau tidak ada gula langsung," katanya.

-- BERNAMA