Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah dan berduka cita atas tragedi kemalangan di persimpangan Tol Ayer Keroh yang mengorbankan tujuh nyawa.
- Tujuh orang, termasuk lima sekeluarga, maut dalam kemalangan yang melibatkan lima kenderaan, termasuk sebuah treler, MPV, dan bas persiaran.
- Dua lagi anak pasangan dalam MPV sedang dirawat di Hospital Melaka, bersama seorang anak saudara yang turut tercedera.
Menerusi perkongsian terbaharu di akaun media sosialnya, Anwar berkata, beliau berasa duka cita dengan tragedi itu.
“Takziah kepada seluruh keluarga mangsa. Turut berduka cita atas tragedi ini. Moga diberi kesabaran dan ketabahan di waktu sukar.
“Mendoakan agar mereka yang terkorban ini diberi keampunan serta dikurnia tempat istimewa di sisi-Nya, insya-Allah.” tulis perdana menteri.
Tujuh, termasuk lima sekeluarga, maut dalam nahas membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah treler, MPV dan bas persiaran di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara dekat Ayer Keroh sekitar jam 8.30 malam tadi.
Mangsa maut ialah pemandu dan penumpang MPV, Khairul Izwan dan isterinya Fadzlenna; anak bongsu mereka Muhammad Umar, 2; bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66; dan pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56.
Dua lagi mangsa, masing-masing seorang penumpang MPV dan bas persiaran, masih belum dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dua lagi anak pasangan itu, Nur Sofea Humaira, 4, dirawat di zon kuning Hospital Melaka manakala Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, dirawat di zon merah hospital sama.
Turut tercedera, anak saudara pasangan itu, dipercayai seorang kanak-kanak, namun belum dikenal pasti identitinya.