PUTRAJAYA: Ada keperluan untuk mewujudkan akta berkaitan keselamatan negara yang baharu, sekiranya undang-undang sedia ada belum cukup ampuh untuk menjamin keselamatan Malaysia daripada unsur dan pengaruh luar.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa mungkin ada keperluan untuk mewujudkan akta keselamatan negara yang baharu jika undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk menjamin keselamatan Malaysia daripada unsur dan pengaruh luar.
  • Walaupun beliau seorang demokrat yang tidak cenderung kepada undang-undang yang keras, Perdana Menteri menegaskan bahawa keselamatan dan keamanan negara tidak akan dikompromi.
  • Perdana Menteri menyerahkan kepada kebijaksanaan pasukan pertahanan seperti PDRM dan ATM serta agensi penguatkuasaan lain untuk menilai keperluan mewujudkan akta keselamatan yang baharu.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, biarpun beliau seorang demokrat, dan tidak begitu terbuka untuk melaksanakan akta yang bersifat ‘keras’ dan ‘mendera’, tetapi beliau sama sekali tidak akan berkompromi demi keselamatan dan keamanan negara.

Justeru Perdana Menteri berkata, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pasukan pertahanan seperti Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, dan agensi penguatkuasaan lain yang berkaitan, untuk menilai keperluan mewujudkan akta tersebut.

“Saya tak nak takutkan (masyarakat) kerana saya seorang terbuka dan demokrat, dan saya enggan untuk mewujudkan undang-undang yang terlalu keras.

"Saya sentiasa mengingatkan Kerajaan jangan langgar prinsip, bimbang akan mendera orang yang tidak bersalah.

“Tetapi kita perlu harus berwaspada. Keutamaan kita adalah keselamatan dan keamanan negara, kalau perlu … undang-undang, kerana ada kelompongan seperti Kementerian Pertahanan dan dan Kementerian Dalam Negeri, tentang kemasukan dana antarabangsa (untuk tujuan pembiayaan keganasan),” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata, biarpun semua pihak mahukan Malaysia lebih matang sebagai sebuah negara demokrasi, dan Kerajaan mahu menjadikan negara lebih menarik untuk pelabur, namun aspek keselamatan dan keamanan adalah lebih penting.

Beliau berkata demikian sewaktu menyempurnakan Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Malaysia Bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE) 2024 – 2028, di Putrajaya, pada Isnin.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam siaran media susulan berkata, MyPCVE mengandungi empat teras utama iaitu Pencegahan, Penguatkuasaan, Pemulihan dan Pengukuhan.

Setiap teras tersebut mempunyai fokus strategik yang menggariskan inisiatif untuk dilaksanakan oleh semua pihak termasuklah agensi penguat kuasa, penggubal dasar dan pelaksana dengan usaha kolaboratif bersama pertubuhan masyarakat sivil seperti ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi penyelidikan dan masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pelan tersebut perlu dibentangkan kepada rakyat, bagi memupuk pemahaman tentang keperluan undang-undang yang melarang tindakan ke arah keganasan.

“Kalau tunggu dan biarkan (perbuatan) ini meluas, sudah menjadi sebati dengan kefahaman, maka agak terlambat.

"Rakan-rakan Cawangan Khas PDRM tahu betapa payah dan perit untuk memulihkan orang yang taksub.

“Ia akan mengambil masa yang lama, seperti mana ambil masa nak jadi orang pelampau. Dari bulan menjadi tahun, (jadi) untuk bersihkan semula fahaman itu juga akan ambil masa.

"Maka ia wajar dipantau supaya tidak menjadi satu penyakit yang menular dalam kalangan kita,” tegasnya lagi.