PUTRAJAYA: Kerajaan akan beralih kepada pengukuran kemiskinan lebih bermakna berdasarkan konsep Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI) sebagai asas dalam mengenal pasti kumpulan sasar untuk pemberian bantuan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Kerajaan akan menggunakan konsep Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI) untuk mengenal pasti kumpulan sasar bagi pemberian bantuan. NDI akan mengambil kira Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang merangkumi kos makanan, pakaian, tempat tinggal, utiliti, dan pengangkutan.
  • Simposium Kebangsaan 2024 menggariskan lima ikhtiar utama: memantapkan pengukuran, mereformasi dana menoktah kemiskinan, menyatupadukan data, merubah sikap dan pemikiran, serta memperkukuh tenggang menoktah kemiskinan. Kerajaan komited untuk meneruskan reformasi fiskal dan merombak struktur subsidi kepada bantuan yang lebih bersasar.
  • Kerajaan menggalakkan sumbangan dana daripada GLC, GLIC, sektor swasta, dan sektor ketiga dalam inisiatif pembiayaan bersama. Pangkalan Data Utama (PADU) akan digunakan sebagai asas dalam penentuan kelayakan dan pemberian bantuan mulai 2025.


Perdana Menteri berkata konsep NDI akan mengurangkan ralat keciciran di samping bersifat lebih adil, dan ia akan mengambil kira Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang merujuk kepada kos keperluan hidup untuk menjalani kehidupan bermaruah dan bermakna.

".. meliputi kos makanan, pakaian, tempat tinggal, utiliti dan pengangkutan, yang berbeza mengikut lokasi dan demografi isi rumah," katanya ketika berucap pada Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan di sini hari ini.

Simposium bertemakan "Bersama, Berdaya dan Mampan" itu menggariskan lima ikhtiar iaitu memantapkan pengukuran, mereformasi dana menoktah kemiskinan, menyatupadukan data, merubah sikap dan pemikiran serta memperkukuh tenggang menoktah kemiskinan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memberi jaminan Jemaah Menteri akan memberi perhatian serius terhadap dapatan dan input yang dikumpulkan dalam simposium berkenaan.

Perdana Menteri berkata beliau mahu Menteri Ekonomi Rafizi Ramli supaya mengumpul dan merumuskan segala idea dan pandangan dikongsi, dan diberikan kepada barisan panel dan peserta yang menghadiri simposium itu.

"Saya boleh beri jaminan kalau ini (rumusan daripada simposium) disiapkan, Jemaah Menteri akan mengambil kira pandangan ini dengan cara yang paling serius.

"Kalau sempat hari Rabu, Rafizi boleh rumuskan peringkat awal notanya, supaya kita boleh ambil perhatian serius dan menjadikan ini soal keutamaan yang disebut fiqh aulawiyat (fiqah keutamaan)," katanya.

Bagi ikhtiar kedua, Mereformasi Dana Menoktah Kemiskinan, Anwar berkata kerajaan komited untuk meneruskan reformasi fiskal sebagai sebahagian daripada langkah untuk menstruktur semula ekonomi ke arah kemampanan.

Beliau berkata ia termasuk merombak struktur subsidi menyeluruh kepada subsidi dan bantuan yang lebih bersasar, termasuk bantuan sosial dan program kemiskinan.

Perdana Menteri berkata kebergantungan kepada dana daripada kerajaan semata-mata boleh menjejaskan kemampanan program kemiskinan dan mengakibatkan tekanan fisikal kepada kerajaan.

"Bagi mengatasi cabaran ini, kita perlu menggembleng lebih banyak lagi kaedah pembiayaan berinovatif seperti dana impak sosial, perkongsian awam-swasta dan pembiayaan campuran.

"Oleh itu kerajaan menggalakkan sumbangan dana daripada pelbagai pihak melalui penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), sektor swasta dan sektor ketiga dalam inisiatif pembiayaan bersama untuk menyokong penyelesaian berasaskan komuniti," katanya.

Bagi ikthiar ketiga yang merujuk kepada Menyatupadukan Data, ia adalah usaha berterusan yang akan sentiasa diambil oleh kerajaan dalam memastikan pangkalan data tersebut sentiasa kekal berintegriti.

Anwar berkata adalah penting bagi kerajaan memastikan semua agensi berkaitan bekerjasama dengan berkongsi data, maklumat dan sumber untuk mengenal pasti dan menyelesaikan isu kemiskinan tegar.

"Sumber-sumber data ini kemudian akan turut diintegrasi kepada Pangkalan Data Utama (PADU) yang saya luncurkan pada awal Januari lepas supaya hasrat kerajaan untuk membangunkan repositori data rujukan tunggal kerajaan dalam pelaksanaan program menoktah kemiskinan serta pelbagai program sosioekonomi dapat direalisasikan.

"Oleh itu pada 2025, kerajaan menyasarkan pengunaan PADU sebagai asas dalam penentuan kelayakan dan pemberian bantuan, sekali gus menyokong inisiatif membuat keputusan berasaskan data," katanya.

Ikhtiar keempat merujuk kepada Merubah Sikap dan Pemikiran, manakala ikhtiar kelima Memperkukuh Tenggang Menoktah Kemiskinan, yang merujuk kepada pendekatan behavioral insight bagi memahami dan mendalami sikap dan tingkah laku kumpulan sasar dalam merangka program untuk membebaskan sesebuah komuniti atau individu daripada belenggu kemiskinan.

-- BERNAMA