SHAH ALAM: Penghentian subsidi pendidikan kepada anak golongan kaya di institusi pendidikan tinggi awam hanya akan dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Kabinet, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata apa yang penting, perkara yang dibangkitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu semalam menunjukkan kerajaan cakna dan mahu golongan berpendapatan tinggi mempunyai tanggungjawab moral terhadap ruang pendidikan kepada golongan rentan yang lebih memerlukan.

"Kita akan melaksanakan (penghentian subsidi) apabila satu keputusan Kabinet ditentukan.

"Apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri ketika ini adalah supaya tanggungjawab moral kumpulan ini (golongan kaya) terhadap ruang dan peluang pendidikan itu untuk benar-benar difahami," katanya selepas merasmikan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2024 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anwar semalam yang memberi bayangan mengenai pembelaan berterusan kerajaan terhadap golongan rentan dalam Belanjawan 2025.

Zambry berkata penekanan kerajaan ketika ini adalah supaya golongan berpendapatan tinggi atau T20 mempunyai tanggungjawab sosial dan moral untuk tidak mengambil kesempatan atas subsidi yang diberikan kerajaan.

"Perdana Menteri memberikan pandangan itu memandangkan bagaimana selama ini (subsidi pendidikan tinggi) diberikan secara pukal begitu sahaja tanpa menyasarkan kepada golongan yang berhak menerima khususnya melibatkan golongan B40 atau sebahagian M40.

"Saya fikir ini yang disebutkan sebagai prinsip keadilan sosial dan tanggungjawab moral bagi golongan berada ini... mereka tahu bahawa di sebalik keistimewaan (subsidi pendidikan) tempat ini (universiti) dan tahu bahawa sewajarnya bahawa anaknya tidak perlu mendapatkan keistimewaan," katanya.

Semalam, Perdana Menteri dilaporkan berkata beliau mahu kebajikan golongan rentan di negara ini terus diberi perhatian selari dengan konsep ekonomi MADANI dan menjadikan sektor pendidikan sebagai contoh iaitu terdapat anak-anak golongan kaya yang menikmati kemudahan pendidikan yang dibiayai kerajaan, berbanding golongan miskin.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata sambutan Hari Akademia perlu dibuat dengan lebih prestij dan setaraf Hari Guru bagi menghargai jasa dan pengorbanan pensyarah dan pemikir peringkat pendidikan tinggi negara pada setiap 5 Okt bermula tahun depan.

Zambry berkata jasa dan sumbangan pendidik di universiti, politeknik serta kolej komuniti perlu disantuni dan dihargai dalam usaha untuk mendedahkan golongan yang selama ini bekerja di belakang tabir untuk pendidikan dan pembangunan negara kepada masyarakat umum.

"Jadi saya harap mulai tahun hadapan kita dapat anjurkan dalam suasana gilang gemilang dengan pengisian acara seperti memberi pengiktriafan kepada profesor, pengajar dan pendidik di universiti dan pusat pengajian tinggi, politeknik serta kolej komuniti," katanya.

-- BERNAMA