PUTRAJAYA: Kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk menghentikan subsidi membiayai pendidikan anak golongan kaya.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, ia masih di peringkat penelitian kerana ada beberapa prinsip perlu diambil kira.

Beliau menjelaskan kaedah penyasaran semula subsidi pendidikan tidak boleh disamakan seperti pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik.

“Kita belum putuskan kerana ia masih di peringkat penelitian, ada beberapa perkara yang menjadi prinsip secara umumnya. Kalau pada isu penyasaran subsidi elektrik sebagai contoh, kita beri penekanan bahawa 85 peratus daripada pengguna di Semenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan sebarang kenaikan, maka kita boleh ambil itu sebagai satu prinsip.

“Cuma dalam beberapa perkara seperti pendidikan, ia tidak berdasarkan seperti dalam kes bil elektrik, ia bersandarkan kepada tahap penggunaan tetapi dalam isu pendidikan, mungkin kita akan teliti beberapa perkara yang lain,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, di sini, pada Selasa.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan kerajaan akan menilai semula peruntukan subsidi dalam sektor pendidikan yang selama ini dinikmati golongan mahakaya.

Beliau menegaskan ia antara yang diberi keutamaan dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini agar pemberian subsidi berkenaan hanya diberikan kepada golongan berkelayakan sahaja.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir tampil menjelaskan bahawa kerajaan kekal dengan pendirian memastikan akses pendidikan dinikmati oleh semua golongan walaupun wujud cadangan sedemikian.