Sesi perjumpaan khas itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pukul 2.45 petang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata ini merupakan kali pertama Perdana Menteri hadir untuk sesi amanat khusus bersama warga penguat kuasa KPDN sejak Bahagian Penguat Kuasa KPDN ditubuhkan pada 1972.
Dalam kenyataan hari ini, beliau menyeru warga KPDN untuk sentiasa mencari ruang penambahbaikan sistem penyampaian kerajaan demi memberikan perkhidmatan sehabis baik kepada rakyat dan negara secara keseluruhannya.
"Kerajaan amat menghargai sumbangan para penjawat awam dan mengiktiraf peranan penting perkhidmatan awam dalam menentukan keberkesanan penggubalan dan pelaksanaan dasar dan program kerajaan.
"Penghargaan dan pengiktirafan ini diterjemahkan dengan komitmen untuk mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif termasuk laluan kerjaya dan emolumen para penjawat awam," katanya.
Armizan berkata keprihatinan kerajaan dizahirkan melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini meliputi pelarasan semula emolumen yang melibatkan kenaikan gaji para penjawat awam di semua peringkat.
"Hakikatnya, kenaikan gaji ini bukan sahaja manifestasi pengiktirafan Kerajaan MADANI kepada para penjawat awam, tetapi juga seiring dengan agenda kerajaan untuk menangani beban kos sara hidup dalam kalangan kakitangan awam," katanya.
Sehubungan itu, para penjawat awam di KPDN diseru untuk menyusul keprihatinan kerajaan ini dengan memperbaharui iltizam dan komitmen untuk meningkatkan produktiviti kerja.
"Kecekapan dan ketangkasan kerja para penjawat awam di KPDN adalah amat penting untuk memelihara kepentingan rakyat. Ini termasuk dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan kefungsian KPDN yang terkait langsung dengan isu kepenggunaan dan kos sara hidup," katanya.
Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).
-- BERNAMA