Penggiliran arahan berpusat antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Kawasan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan dilaksanakan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan perkara berkenaan dalam masa terdekat.

"Ada cadangan yang dibincangkan dalam mesyuarat dimana akan berlaku penggiliran dari segi arahan berpusat antara PDRM dan ATM.

"Keputusan mengenai perkara ini akan dibuat sendiri Perdana Menteri dalam waktu terdekat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Zahid berkata demikian ketika mengulas cadangan beberapa pihak supaya ATM mengambil alih kuasa ESSCOM daripada PDRM.

Katanya, setakat ini tumpuan lebih kepada kuasa arahan bukan dari segi struktur biarpun ada cadangan supaya kuasa yang ada pada PDRM diserahkan terus kepada ATM.

"Saya menyebutkan dari segi pengarahan atau koman saya tidak menyebut dari segi struktur keseluruhannya, kita tunggu apa yang akan diputuskan oleh Perdana Menteri mengenai perkara itu," katanya.

Zahid akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Pada Selasa, kerajaan Sabah mengumumkan perintah berkurung ekoran kejadian penculikan terbaru yang berlaku di negeri tersebut.

ESSCOM di perkenalkan di Sabah ekoran kejadian serangan sekumpulan yang mendakwa mewakili keluarga diraja Sulu awal tahun lepas.