KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Sungai Besi yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh seorang penuntut senior.


Ringkasan AI
  • ATM menegaskan siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak terlibat.


ATM dalam kenyataan pada Rabu malam mengesahkan kejadian itu melibatkan pelajar kadet yang dibuli oleh seniornya menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular menerusi media sosial.

Menurut kenyataan itu kes berkenaan sedang disiasat di peringkat ALK-UPNM.

"ATM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kes tersebut.

"Tindakan disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah," menurut ATM.

ATM menggesa masyarakat memberi ruang kepada pihaknya untuk menyiasat perkara itu secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.

Selain itu, masyarakat juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan tersebut.

"Segala perkembangan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.

Difahamkan perbuatan itu terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih yang bertugas ketika itu selepas menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Sebelum ini negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.

Susulan kes yang berlaku pada 2017 itu, enam bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lepas selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan.

-- BERNAMA