BANTING: Seramai 56 petugas media daripada 21 agensi tempatan diberi peluang merasai dan menyelami kehidupan anggota  Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pasukan Khas TUDM (PASKAU).

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin , program hari Hari Bersama Media (HBM) Kementerian Pertahanan Malaysia anjuran bersama Unit Komunikasi Strategik (UKS) dan TUDM melalui PASKAU itu dianjurkan bagi mengakrabkan lagi hubungan di antara kementerian itu dan pengamal media.


Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin mengucapkan tahniah kepada pengamal media kerana berjaya menamatkan program dengan jayanya.



"Apabila kita mengadakan program ini, kita memang lakukan secara terancang bukan kerana kita hendak tengok pihak media hebat atau tidak.

"Walaupun di luar jangkaan, (pihak media) memang 'survive', memang hebat, itu menggembirakan kami.

"Namun, yang lebih penting adalah kita ingin memberikan gambaran kasar mengenai kesiagaan dan keupayaan pasukan pertahanan negara," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup HBM 2024 di Lapang Sasar Menembak Jugra, Batu Hampar, di sini, pada Selasa.

Wartawan Farhan Hakimi (kiri) bersalam dengan seorang anggota PASKAU.

Program yang dianjurkan bermula 28 Oktober itu antara lain bertujuan meraikan serta menghargai petugas media yang sentiasa memberikan liputan terbaik dan berterusan dalam mengekalkan imej positif MINDEF dan ATM.

Antara aktiviti dan cabaran yang dilaksanakan sepanjang dua hari program berlangsung ialah 'Menembak Raifal dan Pistol', 'Latihan Merentas Halangan dan Latihan Menara Abseiling.


Pengamal media melihat demonstrasi 'Life Hoisting' di perairan yang dipersembahkan anggota PASKAU.

Para peserta turut disajikan dengan demonstrasi kaedah menyelamat oleh anggota PASKAU seperti 'High Angle Rescue' dan 'Maritime Rescue'.

Kolaborasi serta kombinasi HBM kali ini turut membawa konsep Civil-Military Cooperation (CIMIC) iaitu Kerjasama Awam – Tentera dalam mengukuhkan lagi peranan dan kerjasama melalui gabungan media, ATM dan MINDEF.

Dalam perkembangan lain, berucap pada majlis sama, Khaled mengingatkan rakyat agar tidak mempersoal peruntukan dana besar yang diterima Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober lalu.

Ini kerana, menurut beliau, peruntukan tersebut disalurkan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan kesemua cabang perkhidmatan agensi itu sentiasa berada pada tahap yang tertinggi.

Tambahnya, meskipun negara tidak berada dalam situasi peperangan, keamanan mempunyai nilai yang perlu dipertahankan.