PORT DICKSON: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan siasatan penuh berkenaan insiden kekecohan yang berlaku di Wisma Transit, Kuala Lumpur membabitkan warga Palestin baru-baru ini.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata kekecohan membabitkan warga Palestin itu merupakan satu kes terpencil dan akan ditangani dengan profesional dan empati.

"Mereka terlibat masih menerima rawatan berterusan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, daripada jumlah keseluruhan 41 orang, sekarang tinggal empat orang sahaja yang masih menerima rawatan lanjut di HAT Tuanku Mizan, menjadi keutamaan kami pastikan mereka mendapatkan rawatan terbaik sehingga pulih sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-91 Tahun 2024, di Kem Segenting di sini hari ini, bagi mengulas video memaparkan beberapa warga Palestin ditempatkan di Wisma Transit di ibu negara melakukan kekecohan, tular dalam media sosial.

Pada 16 Ogos lepas, Malaysia berjaya membawa 41 rakyat Palestin yang cedera untuk menjalani rawatan di Malaysia, bersama 86 saudara mereka dari Kaherah.

Pesakit berkenaan sedang menerima rawatan di HAT Tuanku Mizan di Kuala Lumpur manakala saudara mereka yang tidak cedera ditempatkan di lokasi transit yang disediakan oleh Kementerian Pertahanan.

Mohamad berkata faktor keselamatan warga Palestin di sini ialah keutamaan negara memandangkan mereka datang ke sini untuk mendapatkan rawatan.

"Apabila mereka keluar tanpa pengawasan, kita bimbang akan berlaku perkara tidak diingini, oleh sebab itu setiap kali pergerakan keluar, kita akan membuat pengawasan. Bagaimanapun, mereka telah memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kejadian ini dan kita akan terus memberikan bantuan kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Mohammad berkata pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 di Lubnan berada dalam keadaan selamat dan keputusan membawa pulang pegawai serta anggota tertakluk sepenuhnya pada arahan daripada Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Beliau berkata hingga kini pasukan Malbatt negara diarahkan menghentikan semua operasi rondaan dan pergerakan logistik, serta kekal di penempatan masing-masing bagi memastikan keselamatan semua anggota terjamin.

"Prosedur perlindungan di dalam bunker telah diaktifkan mengikut protokol keselamatan yang ditetapkan sehingga keadaan kembali terkawal.

"Kita akan terus memantau perkembangan situasi di Selatan Lubnan, terutama aspek keselamatan anggota bagi memastikan langkah yang diambil selaras dengan keperluan operasi dan keselamatan semasa," katanya.

Beliau berkata ATM kekal komited dalam menyokong usaha keamanan di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan terus menilai situasi dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA