KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima kawasan di Besut, Terengganu yang sepatutnya berakhir Selasa ini, dilanjutkan sehingga 27 April depan, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kawasan terlibat ialah Kampung Belaoh, Kampung Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan Felcra Keruak.

Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan masih terdapat penularan kes berlaku di lokaliti itu.

"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 2,038 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 103 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

"KKM melaporkan masih terdapat penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD dan terdapat sebanyak 309 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di semua kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Semua lima lokaliti itu terbabit dalam Kluster Belaoh yang didaftarkan pada 6 April lalu sebagai kluster komuniti melibatkan daerah Besut dan Marang di Terengganu serta Bachok di Kelantan.