Perkhidmatan kedai gunting rambut masih tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui beliau menerima permohonan daripada persatuan-persatuan dan pemilik kedai gunting rambut untuk diberikan kebenaran.

“Saya tahu perkhidmatan gunting rambut ini laris sebelum hari raya.

“Bagaimanapun, kerajaan masih belum membincangkan perkara ini.

“Hal ini kerana gunting rambut masih berada dalam senarai terlarang,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada Selasa.

Tambahnya, persatuan dan pengusaha perkhidmatan gunting rambut yang menghubunginya ada menyatakan komitmen untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Bagaimanapun, kerajaan masih belum membincangkan mengenai sektor perkhidmatan tersebut kerana Kementerian Kesihatan (KKM) masih belum memberikan sebarang nasihat mengenainya.

"Kami belum bincang lagi kalau ada dan dinasihatkan oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), kami boleh berbincang untuk beri kebenaran.

"Setakat ini, kami belum mendapat sebarang nasihat daripada KKM berhubung perkara ini," katanya.