KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Keningau, Sabah bermula 22 Mac hingga 4 April ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan peningkatan kes positif harian secara mendadak di daerah ini iaitu 42 kes direkodkan hasil saringan secara bersasar di Kg Lingkudau yang juga telah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). 

"Pelaksanaan PKP ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar serta mengesan beberapa lagi kontak rapat dan mengawal pergerakan penduduk di daerah ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. 

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah pada 22 Mac 2021 seperti yang dijadualkan.

Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 65 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 26 kes positif telah direkodkan.

"KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan kluster adalah terkawal," ujarnya. 

Dalam perkembangan lain, semalam juga, seramai 100 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 97 telah dikenakan kompaun dan tiga direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (48), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (27), aktiviti pusat hiburan (12), tidak memakai pelitup muka (11)
dan rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (2). 

Operasi Benteng semalam telah menangkap tujuh 13 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas tujuh buah kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara.

"Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 39 buah bot/kapal di perairan negara melalui empat  aktiviti penglihatan," tambahnya.