Pihak polis Thailand mengesahkan bahawa sebuah organisasi berita berpangkalan di London telah memalsukan dokumen membabitkan syarikat PetroSaudi International.

Jurucakap polis Thailand Lt Gen Prawut Thavornsiri berkata kepada New Straits Times (NST) bahawa organisasi berita yang mengubahsuai dokumen sulit itu milik seorang wanita warga Malaysia yang tinggal di Britain.

Thavornsiri berkata bahawa wanita itu sebahagian daripada sekumpulan orang yang berminat untuk membeli dokumen-dokumen sulit itu daripada bekas eksekutif PetroSaudi International Xavier Andre Justo.

"Sebahagian anggota kumpulan itu, termasuk seorang wanita, telah bertemu dengan Justo tiga kali di Thailand untuk menentukan sama ada maklumat yang terkandung di dalam dokumen itu ada sebarang kegunaan kepada mereka.

"Maklumat yang terkandung dalam dokumen yang diterbitkan dalam web kelihatan berbeza daripada salinan digital asal diambil dari komputer peribadi Justo," kata Thavonsiri.

Kumpulan itu bertemu Justo beberapa kali dan dipercayai telah mengadakan pertemuan di Singapura sekurang-kurangnya sekali.

"Kami mempunyai bukti kukuh untuk menyokong dakwaan pertemuan dan kita boleh mengesahkan di kedua-dua negara," katanya sambil menambah kumpulan itu termasuk kakitangan utama daripada pembangkang, kerajaan dan media Malaysia.

Pada 24 Jun, polis Thai menahan Justo kerana cuba memeras ugut PetroSaudi yang berpangkalan di Arab Saudi.

Polis Thai percaya pemalsuan dokumen itu bertujuan untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.