PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berjaya dalam rayuannya untuk memasukkan tiga individu sebagai pihak ketiga dalam saman US$6.59 bilion yang difailkan terhadap beliau oleh 1MDB.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk S. Nantha Balan, Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan itu selepas mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang membatalkan permohonan Mohd Irwan untuk memasukkan individu terbabit sebagai pihak ketiga.

Mereka ialah dua bekas Ahli Lembaga Pengarah 1MDB iaitu Datuk Kamal Mohd Ali dan Datuk Seri Norazman Ayob serta bekas Ketua Pegawai Kewangan Azmi Tahir.

Panel itu memutuskan bahawa Pesuruhjaya Kehakiman telah terkhilaf apabila beliau membatalkan permohonan Mohd Irwan bagi memasukkan pihak ketiga dalam saman itu.

Dalam penghakimannya, Nantha Balan berkata tiada kelewatan melampau di pihak Mohd Irwan ketika memfailkan prosiding pihak ketiga kerana beliau terpaksa menunggu dokumen daripada peguam 1MDB yang pada mulanya menyatakan bahawa mereka akan memberikannya namun kemudian menukar fikiran dan memaklumkan tidak akan memberikan dokumen yang diminta.

Beliau berkata kelewatan itu sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh 1MDB yang enggan memberikan dokumen itu dan hanya berbuat demikian selepas tindakan pihak ketiga difailkan, sambil menambah bahawa syarikat berkenaan hanya memberikan beberapa dokumen.

Nantha Balan berkata berdasarkan perkembangan itu, tidak boleh dikatakan bahawa Tan Sri Mohd Irwan, yang meninggalkan 1MDB tanpa membawa sebarang dokumen, bersalah susulan kelewatan itu."

Beliau berkata terdapat banyak dakwaan yang dilemparkan terhadap Azmi, Norazman dan Kamal sambil menambah mereka telah memfailkan pembelaan bagi tindakan pihak ketiga itu dan perlu menjawab isu berkaitan peranan masing-masing.

Hakim itu berkata tindakan pihak ketiga Mohd Irwan akan menyebabkan kelewatan dalam perbicaraan kes saman 1MDB yang masih berlangsung namun perkara tersebut tidak dapat dielakkan kerana ia membabitkan beberapa urus niaga yang kompleks, dokumen yang banyak, kertas serta minit mesyuarat Lembaga Pengarah yang tebal dan kesemuanya perlu diperiksa dengan teliti sebelum memfailkan tindakan pihak ketiga.

Pada 6 Sept lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membenarkan permohonan enam individu termasuk Kamal, Norazman dan Azmi untuk membatalkan notis pihak ketiga yang difailkan oleh Mohd Irwan selepas memutuskan bahawa terdapat kelewatan melampau dalam memulakan prosiding pihak ketiga.

Tiga lagi individu ialah Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, Datuk Seri Asri Hamidin @ Hamidon dan Datuk Seri Johan Mahmood Merican.

Bagaimanapun, Mohd Irwan memilih untuk tidak meneruskan rayuan terhadap mereka.

Pada 30 Mei lepas, Mohd Irwan memfailkan permohonan ex-parte terhadap keenam-enam individu memohon ganti rugi atau sumbangan sekiranyanya beliau didapati bertanggungjawab dalam saman yang difailkan oleh 1MDB terhadap beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Pendengaran saman itu akan bersambung pada 13 Jan tahun depan.

Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap Mohd Irwan serta Arul Kanda dan menuduh mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi sehingga mengakibatkan kerugian US$1.83 bilion berhubung pelaburan syarikat itu dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang kemudian ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited, yang dikatakan diperoleh semula daripada Bridge Global Fund.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng US$3.5 bilion dana syarikat yang dibayar kepada Aabar Investments serta US$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company pada 9 Mei 2017.

1MDB mendakwa Mohd Irwan bersekongkol dengan Arul Kanda untuk melaksanakan pelanjutan perjanjian pekerjaan, membayar jumlah yang besar iaitu RM2,905,200 kepada Arul Kanda serta tidak mengendahkan kepentingan 1MDB sekali gus mengakibatkan kerugian dan kerosakan kepada syarikat itu.

Justeru, 1MDB menuntut ganti rugi sebanyak US$6.59 bilion daripada kedua-dua defendan bagi pelanggaran tersebut dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berhubung pelanjutan perjanjian pekerjaan.

Peguam Lavinia Kumaraendran dan Mavin Thillainathan mewakili Mohd Irwan manakala peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed serta Rahmat Mohamed Hazlan bertindak bagi pihak Azmi dan peguam Razlan Hadri Zulkifli mewakili Kamal serta Norazman.

-- BERNAMA