KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak "sengaja menutup mata" berhubung kegagalannya untuk menyelidik sumber dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) berkata memandangkan sejumlah besar dana didepositkan iaitu US$681 juta dan jumlah yang dikembalikan sebanyak US$620 juta ke dalam akaun Najib, menjadi tanggungjawab beliau untuk mengambil langkah wajar bagi memastikan sama ada dana itu ialah hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Kelakuan sedemikian serta tindakan menerima, menggunakan dan memindahkan hasil oleh tertuduh juga relevan di bawah Seksyen 8 Akta Keterangan 1950.

" ... justeru, boleh diterima untuk membuat kesimpulan secara munasabah dan wajar bahawa tertuduh mempunyai pengetahuan terhadap semua 21 pertuduhan pengubahan wang haram," kata hakim itu dalam penghakiman ringkas setebal 41 muka surat.

Terdahulu, Hakim Sequerah mengarahkan Najib, 71, untuk membela diri atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi kesemua 25 pertuduhan pada akhir kes pendakwaan.

Sementara itu, Hakim Sequerah menyatakan terdapat bukti menunjukkan jumlah US$681 juta yang berasal daripada akauan bank didaftarkan di bawah nama Tanore Finance Corporation, di Falcon Private Bank, Singapura dipindahkan ke akaun 9694 milik tertuduh.

"Bukti ini menunjukkan bahawa daripada dana yang diperoleh daripada aktiviti haram digunakan oleh tertuduh melalui beberapa cek daripada akaun 9694 untuk membuat pembayaran kepada individu dan beberapa entiti termasuk UMNO.

"Terdapat juga bukti yang menunjukkan tertuduh mengawal dan bertanggungjawab terhadap akaun di bank AmIslamic, walaupun telah melantik pemegang mandat, seperti Nik Faisal Ariff Kamil. Menurut kenyataan tertuduh, beliau mempunyai pengetahuan berkenaan transaksi yang berlaku dan tujuan ia dibuat," kata hakim berkenaan.

Hakim Sequerah berkata bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang juga saksi pendakwaan ke-46 (SP46) memberi keterangan bahawa tertuduh meminta beliau mengisytiharkan bahawa tertuduh tidak melakukan sebarang salah laku.

"Bekas Pengurus Perhubungan Ambank Joanna Yu Ging Ping (SP41) memberi keterangan mengenai peranan dimainkan Jho Low atau Low Taek Jho dalam akaun 9694 milik tertuduh bagi memastikan kecukupan dana dan SP41 juga menyatakan tertuduh mengetahui perkara itu walaupun Nik Faisal merupakan pemegang mandat," katanya.

Menurut hakim berkenaan, kaedah yang menunjukkan dana itu dimasukkan ke dalam akaun 9694 milik tertuduh berjumlah US$680 juta adalah daripada Tanore, dijelaskan oleh Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram ACP Foo Wei Min (SP48).

"SP48 menjelaskan kaedah itu digunakan untuk membezakan antara wang bersih dan wang haram apabila dana bercampur, seperti dalam kes ini. Berdasarkan bukti yang ada, mahkamah mendapati harta terbabit ialah hasil daripada aktiviti haram," katanya.

-- BERNAMA