KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menyampaikan satu Perutusan Khas pada pukul 3 petang ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Facebook Perdana Menteri sebentar tadi.

Perutusan Khas itu akan disiarkan secara langsung di Astro AWANI, RTM, Bernama TV, TV3, TV Alhijrah dan TVS.

Perutusan itu dijangka menjadi tumpuan selepas ramai percaya ia bakal mengakhiri teka-teki mengenai pembubaran Parlimen sejak beberapa hari lalu.

Mengikut jadual beliau, Ismail Sabri sepatutnya akan merasmikan Perhimpunan Agung MIC di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada pukul 2.30 petang.

Terdahulu dalam laporan Astro AWANI semalam, Ismail Sabri dilapor telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1444 H Bersamaan 2022, pada Ahad.

Sebelum ini, beliau menegaskan kuasa mencadangkan pembubaran Parlimen berada sepenuhnya dalam bidang kuasa Perdana Menteri dan tiada parti politik boleh mempengaruhi keputusan itu.

Jelas Ahli Parlimen Bera itu lagi, pembubaran Parlimen adalah di bawah kuasa Perdana Menteri, yang kemudiannya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.