KUALA LUMPUR: Persidangan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) 2023 merupakan platform untuk tingkat perkhidmatan dalam usaha pendigitalan usahawan.

Ketua Bahagian Transformasi dan Koordinasi Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Bukhari Yahya berkata, penambahbaikan PEDi penting dalam usaha merakyatkan ekonomi digital dalam negara

“Persidangan kali ini, kita akan bawa pemegang taruh yang penting untuk kita adakan seminar, perkongsian kejayaan dan sebagainya. Daripada ini, kita akan garap kaedah untuk menjadikan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) sebagai pemangkin ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Usaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan di PEDi seluruh negara adalah bagi membolehkan lebih ramai usahawan yang boleh memanfaatkan pusat khidmat tersebut untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Kita tambah baik kekurangan dan gunakan pengalaman yang baik di negeri-negeri lain. Di sini kita akan melahirkan satu program yang akan menjuruskan PEDi ini sebagai pusat yang akan digunakan oleh orang ramai,” ujarnya.

Persidangan PEDi 2023 akan berlangsung pada 29 November di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.