KUALA LUMPUR: Persembahan 'Rumah MADANI Jiwa Merdeka' yang menonjolkan elemen kenegaraan bakal menjadi antara daya tarikan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka Kota Kinabalu, bermula 7 malam pada 16 Sept ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 berkata, Rumah MADANI Jiwa Merdeka bakal dipersembahkan oleh 100 artis budaya daripada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

"Rumah MADANI Jiwa Merdeka bakal mengetengahkan lima elemen kenegaraan termasuk lagu Negaraku, perpaduan, dinamik kemajuan, transformasi negara dan jiwa merdeka.

"Setiap elemen mempunyai makna tersendiri yang akan dikaitkan dengan tema Hari Kebangsaan iaitu 'Malaysia MADANI Jiwa Merdeka', serta kemajuan yang dicapai negara sejak zaman kemerdekaan dan perpaduan berbilang kaum," katanya ketika menjadi tetamu dalam program 'Selamat Pagi Malaysia' terbitan RTM pada Isnin.

Beliau berkata, artis terkemuka negara seperti Stacy, Amir Jahari dan Faizal Tahir dijangka turut memeriahkan sambutan Hari Malaysia dengan pra-persembahan yang akan bermula pada 5 petang.

Mohamad Fauzi dalam pada itu berkata, program ambang sambutan Hari Malaysia anjuran Jabatan Arkib Negeri Sabah di pekarangan pejabat jabatan itu turut menanti-nantikan kehadiran orang ramai.

Katanya, antara pengisian sambutan itu termasuk pameran pembentukan Malaysia dari 9 pagi hingga 5 petang pada 12 hingga 15 Sept, pertandingan melukis serta nyanyian lagu patriotik bertemakan Malaysia MADANI Jiwa Merdeka.

Mengulas lanjut mengenai sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu itu, Mohamad Fauzi mengajak orang ramai menyaksikan acara sambutan Hari Malaysia hingga akhir bagi menikmati segmen persembahan dron, pertunjukan 'light and sound' serta bunga api pada penghujung program.

"Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal memandangkan kita menjangka kehadiran lebih 30,000 pengunjung ke program ini," katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Merdeka360 atau ikuti platform media sosial di Facebook dan Instagram. - BERNAMA