SEREMBAN: Selain perarakan aset agensi pertahanan dan kenderaan berhias yang sentiasa dinantikan pengunjung, turut mencuri tumpuan pada Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Sembilan kali ini ialah perarakan 30 kereta klasik yang julung kali dipertontonkan.


Ringkasan AI
  • Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Sembilan kali ini menampilkan perarakan 30 kereta klasik dari Kelab Kereta Klasik dan Antik Negeri Sembilan serta deretan basikal klasik dari Kelab Basikal Tuo Soghomban, yang mencuri tumpuan pengunjung.
  • Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat menyaksikan acara sambutan yang dihadiri lebih 20,000 pengunjung. Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menzahirkan penghargaan atas semangat patriotik yang ditunjukkan oleh rakyat.
  • Lebih 80 kontinjen dengan 5,000 peserta menyertai perbarisan, termasuk pelbagai jabatan kerajaan, NGO, sekolah, dan syarikat swasta. Istiadat Kawalan Kehormatan Utama (KKU) diiringi Pancaragam Gabungan Batalion Ke-14 dan Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja.


Dibawakan khas daripada Kelab Kereta Klasik dan Antik Negeri Sembilan, kesemua kereta keluaran seawal 1957 antaranya Austin, Morris Minor, Mini Minor, Volkswagon atau Karman Ghia, Volvo dan Datsun Blue Bird itu dipandu sendiri oleh ahli kelab yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 80-an.

Presiden kelab berkenaan P. Vijayakumar, 49, berkata perarakan kereta itu bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini selain menzahirkan penghargaan kepada pejuang terdahulu dan rasa cinta terhadap tanah air.

"Kereta klasik ini juga bagi mengimbau latar dan suasana zaman awal merdeka dahulu, orang ramai terutama generasi muda mungkin tidak tahu model kereta yang wujud pada zaman itu, jadi kita tunjukkannya menerusi perarakan ini.

"Ini ialah penyertaan pertama sejak tiga tahun saya menjadi presiden kelab ini, tahun sebelum ini kita ada mohon nak sertai tapi mungkin tiada rezeki, tahun ini memang kita teruja untuk tunjukkan kepada orang ramai," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain perarakan kereta antik, Kelab Basikal Tuo Soghomban turut mempamerkan deretan basikal klasik yang pastinya mengembalikan nostalgia pada sambutan kali ini yang diadakan di pekarangan Dataran Majlis Bandaraya Seremban.

Terdahulu, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud turut berkenan berangkat menyaksikan acara sambutan berkenaan dan disambut Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut hadir Undang Yang Empat Tunku Besar Tampin dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Lebih 80 kontinjen membabitkan 5,000 peserta menyertai perbarisan terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pentadbiran daerah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah dan institut pengajian tinggi serta syarikat swasta.

Istiadat Kawalan Kehormatan Utama (KKU) terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Lain-lain Pangkat daripada Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diketuai Mejar Muhammad Hazim Abdul Ghalib, Pegawai Panji-panji Lt Muhamad Khaliq Nasrudin dan Sarjan Mejar Rejimen PWI Bilal Harun.

KKU diiringi Pancaragam Gabungan Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (MEKENIZA) dan Batalion Ke-24 RAMD yang dipimpin oleh Drum Major PW2 Mohd Saiful Mohd Haniff dengan iringan muzik termasuk lagu Pahlawanku, Perwiraku, Gagah Setia dan Lemak Manis.

Aminuddin ketika ditemui pemberita selepas majlis itu menzahirkan penghargaan dan kekagumannya apabila melihat lebih 20,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan kali ini biarpun dalam keadaan hujan awal pagi tadi.

"Walaupun tempat agak terhad, namun saya gembira kerana mereka bukan datang melihat semata-mata tetapi mahu raikan erti kemerdekaan itu. Semangat patriotik inilah yang perlu dikekalkan sampai bila-bila.

"Rakyat sanggup turun seawal 5 ke 6 pagi, sebelum ini pun raptai ramai yang hadir, malam tadi program ambang merdeka di Jelebu juga ramai hadir, jadi kita lihat ia telah berubah, jiwa merdeka mereka berkobar-kobar," katanya.

Sementara itu, pekerja swasta Norafiza Fadil, 42, bersama tiga ahli keluarganya berpakaian bertemakan Jalur Gemilang berkata mereka merasa teruja kerana dapat menyaksikan perarakan dengan pelbagai aset tentera yang jarang dipertontonkan kepada awam.

"Anak saya yang berusia enam tahun begitu bersemangat untuk datang sambut Hari Kebangsaan di sini, memang setiap tahun tidak akan ketinggalan untuk sama-sama rasa kemeriahannya, datang tadi sekitar pukul 6 pagi," katanya.

-- BERNAMA