PUTRAJAYA: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) 2024 akan dilaksanakan bermula 20 hingga 22 Ogos ini melibatkan 8,195 pelajar di 187 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan SPMU akan melibatkan tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.

Mengikut kenyataan berkenaan, calon SPMU diingatkan untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

"Calon hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPMU 2024.

"Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan," kata kenyataan itu.

Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan boleh dimuat turun dari Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian melalui pautan sppat.moe.gov.my.

Jadual waktu peperiksaan SPMU Tahun 2024 pula boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan melalui pautan lp.moe.gov.my.

Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan, KPM telah melantik seramai 1,329 petugas peperiksaan untuk Ujian Bertulis dan Ujian Mendengar Bahasa Melayu serta 1,189 petugas peperiksaan untuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu.

-- BERNAMA