KUALA LUMPUR: Kira-kira 337 syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disiasat berhubung dakwaan penyelewengan geran peruntukan bernilai RM203 juta yang dikeluarkan oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) sejak 2019.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu, pasukan itu kini sedang meneliti semua bentuk permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan telah dilaksanakan oleh penerima geran berkenaan dari 2019 hingga 2021.

Katanya, peruntukan paling tinggi yang diluluskan oleh Mitra ialah pada tahun 2019 iaitu melebihi RM90 juta.

“Peruntukan itu diluluskan kepada kira-kira 205 syarikat, persatuan dan NGO. Daripada jumlah tersebut, terdapat lapan syarikat memperolehi geran peruntukan lebih RM1 juta,” kata sumber itu di sini, pada Khamis.

Katanya, pasukan siasatan buat masa ini menumpukan perhatian kepada penyaluran peruntukan yang melebihi RM1 juta .

Sumber itu memberitahu, siasatan SPRM dibahagikan kepada dua fasa di mana fasa satu memberi tumpuan kepada kira-kira 27 syarikat dan NGO yang telah menerima antara RM1 juta hingga RM9 juta.

Sementara itu dalam fasa kedua pula, SPRM akan bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara untuk menubuhkan pasukan khas siasatan dalaman bagi memberikan tumpuan ke atas kira-kira 310 syarikat yang menerima peruntukan kurang RM1 juta.

Katanya, pasukan penyiasat telah mengenal pasti semua syarikat terbabit dan akan memanggil semua yang terlibat untuk mereka membuktikan bahawa geran yang diterima telah dibelanjakan seperti permohonan.

Tambah sumber, setakat Khamis, seramai 18 orang pengarah syarikat ditahan bagi membantu siasatan.

Difahamkan lebih ramai akan ditahan memandangkan tumpuan pasukan penyiasat di fasa pertama ini ialah terhadap penerima-penerima geran bernilai RM1 juta lebih.

Sumber turut memaklumkan, daripada 10 syarikat yang disiasat setakat ini, 80 peratus daripadanya dipercayai menyalahgunakan dan menyeleweng peruntukan untuk kepentingan peribadi.