Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, kedua-dua mangsa berusia 17 tahun yang merupakan pelajar sebuah sekolah menengah di Cheng masing-masing mengalami luka di dahi, kaki dan tangan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek yang memandu kereta jenis Perodua Alza itu melarikan diri sejauh hampir empat kilometer sebelum berjaya ditahan oleh orang awam di sebuah kedai roti canai berhampiran Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ), Bachang.
"Dua pelajar yang menaiki motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz itu dalam perjalanan pulang dari sekolah dan semasa sedang bergerak lurus berhampiran lampu isyarat Cheng Heights, kereta dipandu lelaki berusia 25 tahun itu didakwa mengubah laluan secara mengejut dan berlanggar dengan motosikal mangsa.
"Pemandu Alza itu bagaimanapun terus melarikan diri sebelum dikejar orang awam dan mereka berjaya menahannya di sebuah kedai roti canai Lebuh AMJ Bachang,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut katanya, hasil ujian alkohol mendapati keputusannya adalah positif dan pemandu berkenaan telah ditahan di lokap Balai Polis Melaka Tengah.
"Pemandu itu juga direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.