Pegawai penguat kuasa menembak mati pemandu berkenaan, yang sebelum itu dikejar polis sejauh hampir 32 kilometer (km) sebelum memandu trak pikapnya "beberapa ratus meter" melalui pintu masuk pusat beli-belah itu dan "terus merempuh orang ramai," menurut Sarjan Bryan Washko dari Jabatan Keselamatan Awam Texas dalam satu sidang media.
Mangsa yang cedera berusia antara enam hingga 75 tahun, kata Washko. Identiti suspek belum dikenal pasti.
Seorang anggota Pasukan Polis Lebuh Raya Texas cuba menghentikan pemandu itu sekitar 5 petang waktu tempatan (2300 GMT) kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk, kata Washko.
Menurut Washko, pemandu itu keluar dari lebuh raya dan memasuki kawasan parkir Killeen Mall, lalu terus merempuh pintu kaca utama sebuah kedai JCPenney.
"Suspek memandu melalui pintu dan terus bergerak dalam kedai JCPenney, merempuh beberapa orang," katanya.
"Pusat beli-belah agak sibuk ketika ini (akhir tahun)," tambahnya.
Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada lelaki itu memasuki pusat beli-belah itu secara sengaja atau "kerana terdesak disebabkan dikejar", kata Washko.
Killeen sebuah bandar dengan hampir 160,000 penduduk, terletak kira-kira 240 km ke selatan Dallas.
-- BERNAMA