JOHOR BAHRU: Seorang penyelia sebuah restoran makanan laut dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota polis trafik, Ahad lalu.


Ringkasan AI
  • Seorang penyelia restoran makanan laut, Ng Wee Long, 34, didakwa di Mahkamah Majistret kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota polis trafik.
  • Tertuduh mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM9,000 dengan syarat tambahan, termasuk lesen memandu digantung sehingga kes selesai dan melapor diri di balai polis sebulan sekali.
  • Kejadian berlaku di Kilometer 3.6 Jalan Pantai menghala ke Permas Jaya pada 14 Julai, di mana seorang anggota polis trafik cedera akibat dilanggar kereta dipandu tertuduh yang didapati positif alkohol.


Tertuduh, Ng Wee Long, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta Proton Wira dengan alkohol berlebihan dalam badan sebanyak 121 miligram (mg) per 100 mililiter (ml).

Kadar alkohol dalam darah itu melebihi 71mg/100ml daripada had yang ditetapkan iaitu 50mg/100ml darah sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota polis trafik.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kilometer 3.6 Jalan Pantai menghala ke Permas Jaya pada jam 7.05 pagi, 14 Julai lalu.

Jika sabit kesalahan, lesen memandu bakal hilang kelayakan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor S Vikineswary manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pendakwa menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan lesen memandu digantung sehingga kes selesai selain lapor diri di balai polis sebulan sekali.

Tertuduh memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan hanya dia seorang yang menanggung perbelanjaan bulanan keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 Ogos depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pada Ahad, media melaporkan seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas cedera selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mabuk di Kilometer 3.6 Jalan Pantai di sini.

Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan yang berusia 30-an itu sedang mengawal aliran trafik selepas berlaku satu kemalangan di lokasi terbabit.

Kemalangan berlaku ketika mangsa sedang membuat kawalan lalu lintas berikutan satu kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas sendiri di lorong kanan menghala ke Permas Jaya.

Ketika proses penundaan dilakukan, tiba-tiba datang sebuah kereta Proton Wira warna Perak dari arah belakang telah mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri lalu melanggar anggota polis trafik yang sedang berdiri di sebelah trak tunda.

Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak ke atas cermin hadapan Proton Wira berkenaan sebelum melambung dan terjatuh di tengah jalan.

Mangsa patah tulang pinggul sebelah kiri, luka di muka dan dagu selain luka di bahagian tangan kanan, manakala pemandu kereta berkenaan luka pada tangan sebelah kiri.

Hasil ujian pernafasan mendapati pemandu kereta itu positif alkohol dalam darah, manakala hasil ujian saringan awal air kencing mendapatinya negatif dadah. - Sinar Harian