KUALA TERENGGANU: Polis menafikan dakwaan nahas jalan raya berhampiran bulatan Ladang di Jalan Sultan Mahmud di sini malam tadi berpunca daripada pemandu mabuk.


Ringkasan AI
  • Kemalangan jalan raya berhampiran bulatan Ladang di Jalan Sultan Mahmud melibatkan Toyota Harrier yang terbabas dan merempuh empat buah kereta bukan berpunca daripada pemandu mabuk.
  • Menurut polis, pemandu Toyota Harrier itu cuba mengelak sebuah kereta yang memotongnya secara mengejut, sebelum hilang kawalan dan melanggar kereta terbabit yang diparkir di bahu jalan.
  • Pemandu tersebut kemudian melarikan diri ke sebuah hotel di Batu Buruk kerana ketakutan akibat diserbu orang ramai.
  • Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata dalam kejadian pada 10.48 malam itu, sebuah kereta jenis Toyota Harrier dipandu seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun terbabas sebelum merempuh empat buah kereta yang diparkir di bahu jalan.

"Siasatan awal mendapati kenderaan terbabit dalam perjalanan dari Batu Buruk menghala ke pusat bandar.

"Kemalangan berlaku apabila pemandu dikatakan mengelak sebuah kereta yang memotongnya dan masuk ke laluan asal kereta Toyota Harrier itu secara mengejut.

"Pemandu berkenaan kemudian mengelak ke kiri sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dan melanggar empat buah kereta iaitu Perodua Aruz, Honda City, Proton Persona dan Perodua Alza yang berada di bahu jalan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Azli berkata pemandu yang ketakutan akibat diserbu orang ramai yang berada di sebuah kedai makan berhampiran telah melarikan ke sebuah hotel di Batu Buruk.

Beliau berkata nahas itu menyebabkan beberapa kerosakan pada kesemua kenderaan terlibat dan pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Keempat-empat pemilik kenderaan dan pemandu Toyota Harrier telah membuat laporan polis.

"Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59). Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM2,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam bulan," katanya.

-- BERNAMA