Ringkasan AI
- Semua pihak diminta menerima titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung pengampunan atau pengurangan hukuman banduan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan pentingnya membaca, memahami, dan menerima titah tersebut sebelum memberi komen.
- Permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan hendaklah dikemuka sendiri oleh banduan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
- Kuasa memberi ampun, menunda hukuman, dan meringankan hukuman bagi kesalahan di Wilayah Persekutuan adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong, berdasarkan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat perlu baca, hadam dan terima titah Sultan Ibrahim sebelum memberi sebarang komen.
“Kena baca kena hadam dan terima titah Tuanku,” katanya secara ringkas selepas mengadakan lawatan Lestari Niaga@KL 2 di Pusat Penjaja Seksyen 10, Wangsa Maju, pada Jumaat.
Maklum balas itu bagi mengulas kenyataan Istana Negara bahawa permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan hendaklah dikemuka sendiri oleh banduan berkenaan untuk dipertimbang Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
Ditanya sama ada titah berkenaan ada kaitan dengan perhimpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Isnin ini, Anwar berkata, “Ya kena baca, kena baca”.
Terdahulu, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan kuasa memberi ampun, tunda hukum, dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Kuasa prerogatif itu termaktub berdasarkan kepada peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Melalui kenyataan sama, Istana Negara berkata Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung, atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan terbabit.
Isu pengampunan banduan mencetus perdebatan susulan kes membabitkan Najib terutama dalam soal titah adendum untuk membolehkan bekas Presiden UMNO itu menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.