Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan usaha Kerajaan Perpaduan memperkasakan tatakelola yang baik sebagai satu kejayaan berikutan tiada skandal atau kes besar boleh dipalitkan.
"Sementara kita tekankan soal tatakelola, yang saya anggap satu kejayaan, orang banyak cerita tentang kes-kes yang lama, saya nak sebut dalam dua tahun ini, saya syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita menjalankan proses tender yang telus dan tidak ada satu skandal besar yang pernah diungkapkan sepanjang dua tahun ini.
"Dan bagi saya ini kejayaan yang lebih besar, kita ada keupayaan dan tidak boleh menyelesaikan semua masalah. Negara ini, negara hukum, dan kita harus ambil keputusan berdasarkan tatakelola yang baik. Dan MADANI menekankan soal nilai, jadi jangan kita umpama terheret dengan perbincangan hiruk-pikuk yang lain. Saya mahu penjawat awam punyai satu ketetapan, bahawa tugas kita ialah melonjakkan ekonomi dan prestasi negara kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu 2025 dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pada Jumaat.
Anwar turut memohon semua pihak memberi kepercayaan dan masa dua tahun lagi kepada Kerajaan MADANI untuk membuktikan dalam menjadikan Malaysia sebagai negara hebat di rantau Asia.
"Percayalah saudara saudara beri satu dua tahun kalua semangat begini rupa, pengiktirafan begini rupa dan kesatuan semangat kita, saya percaya, kita akan saksikan, Malaysia sebagai negara hebat di rantau ini. Saya yakin," katanya.