Ringkasan AI
- Peranan Guru: Guru-guru kini beralih daripada penyumbang utama ilmu kepada pemudah cara, dengan sifat cakna yang penting dalam mendepani perubahan sistem pendidikan dan masyarakat.
- Memerangi Rasuah: Guru-guru yang cakna menyokong agenda kerajaan memerangi rasuah dengan menjadikan isu ini sebagai topik perbincangan di bilik darjah, membantu membentuk generasi muda yang benci rasuah.
- Anjakan Pendidikan: Guru-guru perlu bersedia dengan perubahan dari sistem berasaskan peperiksaan kepada kemahiran dan bakat, serta menerima perubahan digital dalam pendidikan untuk memastikan kejayaan anjakan yang dilaksanakan oleh KPM.
Peranan guru suatu ketika dahulu, sebagai penyumbang utama ilmu (feeder of knowledge) kepada pelajar-pelajar telah berubah sekarang kepada pemudah cara (fasilitator of Knowledge).
Namun, sifat cakna seorang guru kekal menjadi ciri utama seorang guru yang baik dan berdedikasi.
Perkataan cakna ditakrifkan sebagai “ambil peduli atau ambil berat” mengikut takrifan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jadi seorang guru yang mempunyai pekerti cakna boleh diertikan sebagai seorang yang sentiasa mengambil berat dan ambil peduli tentang pelbagai perkara, terutamanya tentang dasar negara, perubahan dalam sistem pendidikan, dan juga perubahan kepada struktur masyarakat di mana mereka menabur khidmat sepanjang menjadi guru.
Terkini, antara fokus penting Kerajaan MADANI adalah memerangi gejala rasuah yang telah menjadi barah dalam sistem pentadbiran negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadikan perang menentang rasuah sebagai salah satu agenda utama negara.
Dalam konteks ini, guru-guru yang cakna akan tentunya bersama menjunjung hasrat Perdana Menteri dengan menjadikan perang menentang rasuah sebagai satu rutin wajib yang perlu sentiasa dibincang dan dijadikan sisipan dalam aktiviti di bilik darjah bersama pelajar-pelajar.
Pendekatan ini bakal menjadikan fokus negara memerangi rasuah terus sampai kepada kumpulan sasar di peringkat akar umbi.
Hanya dengan sikap guru-guru yang cakna sebegini, azam Perdana Menteri untuk membentuk generasi muda yang benci rasuah akan terlaksana.
Sikap integriti akan mampu dijana dalam kalangan generasi muda yang bakal menjadi pelapis kepimpinan negara di masa hadapan.
Guru-guru yang cakna akan sentiasa bertindak secara proaktif melengkapkan diri mereka dengan maklumat terkini terkait dengan perubahan kepada sistem pendidikan negara.
Mereka, pada masa sama, cuba belajar untuk meningkatkan kemampuan dan kemahiran sebagai penjawat awam dalam usaha memberikan khidmat terbaik kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan para pelajar.
Anjakan KPM dari sistem berasaskan peperiksaan kepada berasaskan kemahiran dan bakat pelajar memerlukan guru-guru bersedia berubah dari sudut pemikiran dan sikap mereka terlebih dahulu; guru-guru perlu menambah kemahiran baharu dalam mendepani cabaran perubahan ini.
Sikap cakna guru-guru kepada perubahan ini sangat penting dalam memastikan anjakan yang dibuat KPM berjaya sepenuhnya.
Anjakan kedua yang tidak kurang pentingnya juga telah dilaksanakan KPM iaitu membawa beberapa perubahan sistem kerja dan latihan ke arah sistem digital.
Bermula dengan kelas secara dalam talian sepanjang musim COVID-19 hinggalah kepada bengkel digital dalam talian yang ditawarkan kepada guru-guru mengikut kaedah pembelajaran kendiri.
Guru-guru yang cakna akan menerima semua perubahan ini secara positif dan terbuka. Kecaknaan guru-guru dan kesediaan mereka untuk berubah akan menjadikan dua anjakan besar KPM mampu dijayakan dengan lancar dan berkesan.
Sikap cakna kepada perubahan dalam masyarakat akan menjadikan guru-guru mampu bertindak selari dengan denyut dan nadi komuniti.
Guru-guru yang cakna mampu memahami bahawa masyarakat kini berdepan dengan pelbagai cabaran yang bersifat BANI (Brittle, Anxious, Non-linear, Incomprehensible).
Cabaran yang dihadapi masyarakat berbentuk rapuh, sangat membimbangkan, tidak lagi bersifat lurus dan mudah diagak serta sukar.
Dalam mendepani semua cabaran ini guru-guru haruslah bersikap cakna kepada kepelbagaian latar belakang pelajar-pelajar mereka.
Sikap mengambil mudah serta menganggap bahawa semua pelajar adalah sama dan latar belakang mereka tidak jauh berbeza adalah tidak sesuai lagi diamalkan.
Guru-guru yang cakna kepada perubahan cabaran dalam masyarakat ini mampu memainkan peranan mereka sebagai fasilitator pendidikan dengan lebih cemerlang.
Guru-guru yang cakna adalah guru-guru yang junjung hasrat kerajaan dan sentiasa belajar memperbaiki kemahiran kendiri dalam menggerakkan pelbagai anjakan yang dilaksanakan KPM.
Guru-guru ini faham bahawa perubahan merupakan suatu yang pasti dan sifat cakna mampu menjadikan mereka kekal sebagai penggerak kepada semua perubahan.
Ibarat peribahasa Melayu “zaman beralih, musim bertukar”, jadi guru haruslah cakna dan sentiasa bersedia mendepani perubahan.
Muhaimi Saifuddin Mohamad Salleh ialah Pensyarah Kanan di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Kota Bharu.
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.