Lelaki tempatan ditahan menyamar polis, samun keluarga warga asing
Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menyamar sebagai anggota polis dan menyamun keluarga warga asing di sebuah kawasan perumahan di Meru, Klang.
Bernama
Sun Jan 05 2025
Suspek dipercayai masuk ke rumah mangsa dengan memperkenalkan diri sebagai polis serta meminta RM4,000 jika tidak mahu ditangkap. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menyamar sebagai anggota polis dan menyamun keluarga warga asing di sebuah kawasan perumahan di Meru, Klang dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata lelaki warga tempatan itu dipercayai masuk ke rumah mangsa dengan memperkenalkan diri sebagai polis serta meminta RM4,000 jika tidak mahu ditangkap.
Beliau berkata mangsa dan keluarga yang berasa terancam telah menyerahkan dua cincin emas dan sebuah telefon bimbit kepada suspek berusia 23 tahun itu.
"Suspek terus melarikan diri sengan menaiki motosikal yang tidak dapat dipastikan jenis dan nombor pendaftaran dengan laporan polis dibuat kira-kira 1.24 pagi semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Vijaya Rao berkata suspek yang ditahan bersama barang rampasan kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
"Polis menyeru masyarakat supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang menyamar sebagai anggota polis untuk melakukan jenayah," katanya.