SEPANG : Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu yang menyertai Himpunan Solidariti Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin kerana ia melanggar undang-undang.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, perhimpunan menyatakan solidariti kepada bekas Perdana Menteri itu tidak mendapat kebenaran disebabkan tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Kita juga akan melaksanakan sekatan jalan raya di jalan-jalan masuk ke Putrajaya dan melakukan pemeriksaan ketat ke atas semua yang memasuki kawasan itu.

"'Ia adalah bagi memastikan tidak ada sebarang senjata atau sepanduk yang mengandungi unsur-unsur jelik atau berbaur hasutan berhubung perhimpunan ini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Sebelum ini media melaporkan, penganjuran Himpunan Solidariti oleh ahli UMNO itu adalah sebagai tanda sokongan dan setia kawan terhadap Najib kerana jasa besar beliau selama ini.

Istana Negara menerusi kenyataan mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang ditetapkan, termasuk kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong berkaitan pengampunan kepada mana-mana banduan.

Menurutnya, kuasa Seri Paduka Baginda untuk memberi ampun, tunda dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya termaktub di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Susulan itu, UMNO memutuskan untuk tidak meneruskan perhimpunan solidariti.

Namun,  Pas tetap menggalakkan ahli parti hadir pada perhimpuan itu kerana menyifatkan solidariti itu sebagai isu rakyat dan tiada pihak boleh menyekat sesiapa saja yang mengambil berat mengenai solidariti itu kerana ia hak asasi.

Sementara itu, MIC pula menegaskan untuk meneruskan himpunan solidariti itu namun menukar lokasi dari Istana Kehakiman Putrajaya ke Batu Caves.