KUCHING: Pengambilan khas guru akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar di sekolah rendah dan menengah di Sarawak, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.

Beliau berkata, pengambilan khas itu dibuka kepada siswazah Sarjana Muda, dan permohonan boleh dibuat melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

"Calon yang berjaya akan menerima kontrak dua tahun dan mengikuti pengajian Diploma Pendidikan di Institut Pendidikan Guru Malaysia dengan pembiayaan sendiri.

"Selepas memperoleh Diploma Pendidikan, mereka akan ditawarkan mengajar secara tetap, bergantung kepada tapisan akhir oleh SPP," katanya dalam sidang media di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, calon yang berminat boleh menghantar permohonan melalui MySPP dan keputusan akan diumumkan pada Oktober atau November, dengan penempatan mengajar disasar pada November dan Disember ini.

Mengulas mengenai status terkini kekurangan guru di negeri itu, Sagah berkata, menjelang 31 Disember tahun ini, Sarawak dijangka berdepan dengan masalah kekurangan 2,373 guru.

Beliau berkata, 30 Pejabat Pendidikan Daerah mempunyai beberapa kekosongan, dengan enam daerah tertinggi terdiri daripada Serian, Daro, Kapit, Subis, Saratok dan Betong, tiap satu mempunyai lebih 100 kekosongan.

"Kekurangan guru paling ketara adalah bagi subjek Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Moral, Prasekolah, Bahasa Melayu dan Pemulihan.

"Melalui pengambilan khas oleh SPP dan penempatan guru oleh Kementerian Pendidikan antara Julai dan November tahun ini, kami menjangka angka ini akan berkurangan kepada 1,130 orang, " katanya. - BERNAMA