BERA: Penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat esok dibuat atas nasihat Ketua Pengarah Kesihatan selepas penilaian risiko berikutan peningkatan kes dikesan di Parlimen sejak Isnin lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga petang Khamis, lebih 70 kes positif COVID-19 dikesan hasil saringan dilakukan membabitkan Ahli Parlimen dan pengiring mereka yang juga kontak rapat.

"Dalam masa empat hari berlaku peningkatan saya tak pasti jumlahnya tetapi ada berbelas juga, jadi KP Kesihatan mengeluarkan arahan menasihatkan Parlimen supaya menangguhkan sesi.

"Kita ikutlah kerana ini soal nyawa," katanya selepas menyampaikan bakul makanan kepada empat wakil kampung di Masjid Kampung Charuk Puting, di sini hari ini.

Tambah Ismail Sabri, sebelum persidangan bermula, mesyuarat khas dihadiri Speaker Dewan Rakyat termasuk wakil-wakil parti telah diadakan sebelum menerima nasihat ditangguhkan oleh Kementerian Kesihatan.

Mesyuarat Khas | Tangguh atas nasihat Ketua Pengarah Kesihatan

Bagaimanapun, ia diteruskan dengan dua syarat utama utama antaranya Parlimen perlu ditangguhkan, dikurangkan masa perbahasan dan dikurangkan kehadiran Ahli Parlimen seramai 80 orang.

Namun, selepas persidangan bermula penularan wabak telah berlaku sehingga arahan penangguhan dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berikutan Ordinan Darurat ditamatkan.

"Nasihat daripada KP Kesihatan ada dua. Yang pertama Parlimen perlu ditangguhkan kerana kebimbangan kes tinggi di Parlimen, dan yang kedua kalau boleh dikurangkan masa perbahasan iaitu sehingga 2 petang dan jumlah yang masuk ke dalam parlimen dihadkan kepada 80.

"Pembangkang kata kes belum berlaku lagi, kita cuba dahulu bersidang. Akhirnya persidangan berlaku juga walaupun sudah nampak mungkin akan berlaku peningkatan kes," ujarnya lagi.