Laporan terkini E-Conomy SEA 2024 oleh Google, Temasek dan Baian & Company mendedahkan pertumbuhan itu didorong oleh sektor e-dagang, pelancongan dalam talian serta perkhidmatan kewangan digital.
E-dagang kekal penyumbang terbesar, dengan pertumbuhan GMV 17 peratus kepada AS$16 bilion.
Manakala pembelian perkhidmatan pelancongan atas talian meningkat 19 peratus kepada AS$8 bilion.
Sementara perkhidmatan pesanan makanan dan penghantaran tumbuh 10 peratus kepada AS$3 bilion.
Menurut Pengarah Negara Google Malaysia, Farhan Qureishi, secara dasarnya terdapat tiga perkara asas yang perlu diberi perhatian untuk Malaysia terus rancak membangunkan ekonomi digital.
Katanya, fokus pertama kerajaan perlu tertumpu kepada perubahan keperluan pengguna, termasuk cara mereka mencari maklumat di atas talian.
"Kedua, soal keselamatan siber perlu diberi perhatian, ini termasuk penggubalan dasar kerajaan yang tepat untuk memastikan pengguna terus selamat ketika memanfaatkan teknologi digital.
"Ketiga, bagaimana negara dan komuniti perniagaan mengguna pakai teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menambah baik pengalaman pengguna di samping meningkatkan produktiviti," katanya.
Ujarnya, Google menjangka Malaysia akan terus berupaya menjana pertumbuhan ekonomi digital sekiranya tiga perkara ini diberi tumpuan penuh bergerak ke hadapan.
Tambah Farhan, dasar yang digerakkan kerajaan Malaysia ketika ini turut menjadi penyumbang besar kepada perkembangan ekonomi digital Malaysia biarpun terdapat beberapa industri seperti makanan dan pengangkutan sedikit menguncup.