SEOUL: RM32.8 bilion potensi pelaburan dan eksport dari Malaysia dengan nilai RM1.3 bilion berjaya diraih melalui lawatan kerja Perdana Menteri ke Republik Korea.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selain tumpuan diberikan kepada industri-industri baharu, kedua-dua negara turut memberikan penekanan kepada pembangunan industri halal secara menyeluruh.

“Setakat ini potensi pelaburan ialah RM32.8 bilion, dengan eksport segera daripada Malaysia mencecah RM1.3 bilion.

“Halal memang diberikan penekanan. Saya dan Presiden Yoon (Suk Yeol) memberikan penekanan kepada industri halal. Bukan sahaja pensijilian, tetapi industrinya. Sama ada kita import, dan banyak juga kita eksport.

“Menarik kerana barangan halal itu bukan sahaja diterima baik oleh orang Islam di Korea, bahkan rakyat Korea secara umum. Sebab itu nilai eksport itu mencecah sehingga RM5 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media tertutup bersama wakil media Malaysia di sini hari ini.

Anwar turut menambah pertemuannya dengan Presiden Republik Korea, Yoon Suk Yeol bukan sahaja mengeratkan hubungan dua hala, bahkan mengangkat martabat negara melalui penghargaan yang dizahirkan Yoon terhadap sokongan yang ditunjukkan Malaysia dalam isu berkaitan Semenanjung Korea.

“Presiden Yoon mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kita yang memberi dokongan kepada dia untuk bergerak kearah penyatuan Korea. Daripada permusuhan dan perbalahan, lebih baik mereka bergerak ke arah penyatuan,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan sempena kepengerusian ASEAN oleh Malaysia dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) oleh Korea Selatan, kedua-dua negara akan mengadakan Festival Muzik ASEAN-Korea pada Jun akan datang.

“Malaysia akan mempengerusikan ASEAN dan Republik Korea akan menyelaraskan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC). Jurang masa agak dekat. Sebaik selesai ASEAN, semua (pemimpin) akan bertolak ke Seoul untuk APEC.

“Maka beberapa kerjasama dan perbincangan akan diadakan. Kita juga tingkatkan kerjasama melalui satu Festival Muzik Korea-ASEAN pada Jun 2025, dengan kerjasama pemerintah Korea dan negara-negara ASEAN,” jelasnya.

Anwar mengakhiri lawatan kerja di Korea Selatan yang bermula sejak Ahad lalu, dengan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Delegasi Malaysia juga disertai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan para pegawai kanan kerajaan Malaysia yang lain.