AYER KEROH: Seorang lelaki warga Pakistan direman lima hari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas didakwa meliwat seorang pemuda yang datang untuk mencari kerja kosong di sebuah kedai perabot semalam.

Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 36 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, suspek ditahan oleh sepasukan polis kira-kira pukul 6.30 petang semalam selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh mangsa yang berusia 22 tahun.

“Tangkapan terhadap suspek ini dibuat berhampiran sebuah kedai perabot di Taman Tanjung Minyak Setia, Tanjung Minyak pada petang semalam.

“Mangsa dikatakan datang ke premis berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi semalam untuk minta kerja sebelum suspek meminta pengadu naik ke tingkat atas bagi berjumpa dengan pengurus.

“Bagaimanapun tiada sesiapa ditingkat atas dan suspek kemudian bertindak menarik pengadu ke dalam sebuah bilik sebelum mencium pengadu di mulut, dada, leher, punggung dan betis sebelum meliwat pengadu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Difahamkan, mangsa telah dirujuk ke Hospital Melaka dan pemeriksaan lanjut mangsa mendapati ada kesan koyakan baharu pada duburnya.

Mengulas lanjut Zainol berkata, mangsa cuba melepaskan diri tetapi telah dihalang oleh suspek.

“Hasil saringan ujian air kencing terhadap suspek mendapati negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (KK) iaitu dengan sengaja melakukan persetubuhan di luar tabii.

“Suspek berdepan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan," katanya.