KOTA KINABALU: Pembentukan Malaysia telah membawa banyak nikmat dan manfaat kepada pelbagai lapisan rakyat di seluruh negara termasuk Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata perjalanan membina negara masih panjang dan berliku dengan pelbagai cabaran, namun, ia pasti dapat diharungi dengan kesatuan, kebersamaan, dan perpaduan demi kepentingan tanah air.

Hajiji turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menghayati tema sambutan Hari Malaysia pada tahun ini iaitu 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka' yang merupakan cerminan penting bagi kemakmuran dan kemajuan negara.

"'Malaysia MADANI' disokong oleh enam nilai teras utama mencerminkan visi kita untuk membentuk masyarakat berdaya tahan, harmoni dan progresif, manakala 'Jiwa Merdeka' menggambarkan kebebasan rakyat Malaysia daripada elemen negatif, menekankan semangat patriotisme dan cinta kepada negara.

"la juga melibatkan aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi dalam usaha kita untuk membina sebuah kesatuan rakyat yang kukuh dan harmoni," katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia 2024 peringkat Kebangsaan, hari ini.

Ketua Menteri berkata nilai-nilai Malaysia MADANI seiring dengan aspirasi dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadi panduan kerajaan dalam memacu pembangunan, malah Sabah amat menghargai keprihatinan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat negeri itu.

Melalui dasar ini, Hajiji berkata kerajaan berusaha untuk memperkukuh ekonomi, mempertingkat kesejahteraan rakyat dan memperkasa pembangunan lestari.

"Gabungan nilai-nilai Malaysia MADANI dan SMJ adalah manifestasi kesungguhan kita untuk melihat Sabah dan Malaysia terus maju dalam suasana aman dan makmur.

"Di Sabah, semangat perpaduan dan saling menghormati antara kaum akan terus dipertahankan dalam usaha bergerak maju ke hadapan. Kesatuan dan perpaduan antara rakyat adalah kunci kepada kejayaan Malaysia amnya, dan Sabah khususnya.

"Marilah kita bersama-sama memperkukuh semangat perpaduan dan terus bekerja keras demi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara makmur, berdaulat dan dihormati di peringkat antarabangsa," katanya.

Hajiji juga berharap sambutan Hari Malaysia pada tahun ini memberi inspirasi dan kekuatan baharu kepada seluruh rakyat dalam meneruskan perjuangan untuk memastikan masa depan negara yang lebih cemerlang.

-- BERNAMA