ALOR SETAR: Seorang pemandu dan penumpang sebuah kereta mewah berdepan detik cemas apabila kereta yang dinaiki mereka terbakar di tepi jalan di Kilometer 82, Lebuhraya Utara Selatan, dekat Gurun, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Razali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.18 petang.

"Maklumat awal yang diterima, kebakaran melibatkan sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz yang terbakar hampir 90 peratus di tepi jalan lebuh raya.

"Difahamkan, sebelum kejadian pemandu dan penumpang itu melihat asap keluar dari kereta berkenaan sebelum pemandu memberhentikan kereta di tepi jalan dan keluar dari kereta sebelum ia terbakar sepenuhnya," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata api berjaya dikawal pada 3.50 petang.

"Usaha pemadaman dilakukan sembilan anggota dari BBP Guar Chempedak dengan menggunakan dua jentera dan pemadaman tamat sepenuhnya pada 4.08 petang," katanya.

-- BERNAMA