Menerusi pembentangan, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Suhairi Jumu’ri mempersembahkan SG1, sebuah robot yang mampu membantu mengurangkan risiko keselamatan pasukan bomba.
Mengulas lanjut, Suhairi yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai memaklumkan, SG1 merupakan robot pemadaman yang direka untuk membantu anggota bomba membuat pemadaman ketika kebakaran.
Tambahnya, robot ini juga berkemampuan melakukan siasatan awal bagi tragedi yang berlaku.
Berkongsi pengalaman, Suhairi memberitahu, di daerah lokasi tempatnya bertugas, pernah berlaku kes-kes kebakaran yang amat membahayakan pasukan terlibat dalam operasi pemadamaan.
"Ada satu kebakaran berlaku akibat tumpahan asidton, yang merupakan bahan kimia berbahaya.
"Kes kedua, dinding bangunan kilang runtuh dan anggota tidak dapat membuat pemadaman atau memasuki kawasan bangunan kilang tersebut. Jadi dengan itu kita sebagai pasukan, membuat solusi kepada masalah. Di situ terhasilnya robot pemadaman SG1," katanya.
Menurut Suhairi, cara pengendalian robot SG1 memudahkan tugas anggota bomba ketika berdepan kebakaran berskala kecil atau besar.
Mengulas mengenai penghasilan robot itu, Suhairi berkata ia adalah gabungan hasil kerja berpasukan di BBP Bagan Serai.
"Yang pertama kita masukkan sistem pemadaman nozzle, yang kedua kita masukkan visual (kamera) untuk proses pengesanan awal atau mencari dan menyelamat dan ketiga kita masukkan sistem pengesanan bahan kimia atau kebocoran.
"Semua itu menggunakan pengetahuan dan kemahiran pasukan sendiri, (anggota) yang antara lain mempunyai kemahiran dari segi teknikal, mengecat dan pendawaian.
"Kita gabungkan semua anggota terbabit menjadi satu kumpulan untuk kita hasilkan SG1," katanya.
Beliau berkata, robot SG1 dihasilkan menggunakan barang buatan Malaysia dengan kos hanya RM35,000 berbanding mesin mempunyai keupayaan yang sama dari luar negara berharga RM350,000.
Dalam pada itu, Suhairi berharap, sekiranya bergelar juara Innovathon musim kedua, pihaknya mahu memanfaatkan dana kemenangan dengan membeli peralatan khas untuk menghasilkan produk lebih baik bagi kegunaan pasukan.
Antara kumpulan yang bertanding untuk minggu kedua adalah Bromex Biocative, Buccia Angguria, E Mortis, Kineg Fan, Rehad dan Co Auto Safety.
Program Innovathon musim kedua menyaksikan seramai 56 peserta telah dipilih menerusi sesi uji bakat, dan bakal bersaing di pentas dengan memberikan persembahan idea-idea menarik berteraskan sains dan inovasi menerusi siaran lapan episod.
Idea terbaik dari setiap episod akan terpilih untuk mara ke peringkat akhir, dan mereka akan bersaing bagi memenangi dana sokongan pembangunan perniagaan dengan nilai terkumpul sehingga RM1 juta.
Innovathon musim kedua menampilkan gandingan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang sebagai juri tetap, serta gandingan bersama juri selebriti Erra Fazira.