Demikian nasihat disuarakan Ketua Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohamad yang berkata, sikap terlalu yakin itu boleh mengundang pelbagai risiko termasuk kehilangan nyawa.
Katanya, tindakan itu juga harus dielakkan terutama bagi kenderaan ringan kerana kedalaman air dan kekuatan arus banjir tidak dapat dijangka dan boleh membahayakan keselamatan.
Selain itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa waspada dan tidak menyentuh dawai elektrik yang terjatuh dalam air banjir kerana dikhuatiri terdapat arus elektrik yang boleh membahayakan.
"Ketika ini kebanyakan laluan dan jalan telah dilimpahi air, jadi saya mohon pada orang ramai, kalau boleh jangan ambil risiko meredah banjir khususnya kalau kenderaan kita jenis yang rendah, risau ia jadi punca kita dihanyutkan.
"Kita juga bimbang dengan tindakan orang ramai yang meredah banjir dan terdedah dengan pelbagai risiko termasuk renjatan elektrik, kerana kita tak dapat jangka apa yang ada dalam kawasan air tersebut.
"Jadi, harap orang ramai lebih prihatin kepada risiko bahaya disebabkan oleh banjir," katanya kepada Astro Awani hari ini.
Nor Hisham juga meminta orang ramai yang telah berpindah ke pusat pemindahan sementara supaya elak daripada kerap berulang alik untuk pulang dan melihat kediaman yang telah ditenggelami banjir.
Katanya, ibu bapa perlu memantau anak-anak supaya tidak bermain air dan jangan jadikan lokasi banjir sebagai pesta untuk bermain air.
Terdahulu satu kematian direkodkan di Kelantan di mana seorang lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik selepas terpegang jeriji besi pintu rumahnya yang ditenggelami banjir.
Manakala di Sarawak seorang warga emas maut selepas kereta dipandunya terperangkap sebelum dihanyutkan arus deras ke sungai dalam kejadian banjir kilat di Kapit.