Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, satu rakaman video memaparkan tindakan pemandu lori berkenaan yang menghalang laluan kenderaan dari Jalan Mahkota Residence 1 untuk memasuki Jalan Persiaran Mahkota Residence.
Katanya, kejadian tersebut berlaku pada Rabu lalu sekitar jam 1.50 petang.
Bertindak atas maklumat, Unit Risikan dan Operasi dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah menjalankan siasatan lanjut sebelum berjaya menahan suspek pada Khamis sekitar jam 10 malam.
"Suspek, seorang lelaki warga tempatan berusia 60 tahun, ditahan atas kesalahan memandu secara berbahaya dan melulu.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, di mana jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM15,000," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang lalu lintas serta sentiasa menghormati hak pengguna jalan raya yang lain bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
