Ahmad Samsuri berkata keputusan itu adalah bukti hubungan baik dan perbincangan sihat yang berlangsung antara Pusat dan negeri.
Beliau berkata ia juga satu permulaan ke arah usaha menambah baik beberapa kadar pemberian lain kepada negeri dengan mengambil kira perbezaan demografi.
"Kali terakhir kadar ini (pemberian mengikut bilangan orang) dipinda adalah pada 2002, sudah pasti dalam tempoh 20 tahun banyak perubahan berlaku daripada aspek populasi rakyat dan nilai ekonomi.
"Di Terengganu dalam tempoh ini kadar populasi meningkat 31.6 peratus iaitu daripada 936,000 penduduk pada 2002 kepada 1.23 juta penduduk sehingga kini," katanya pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Masjid Sultan Ahmad di sini hari ini.
Pada 6 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan Kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang dinaikkan 25 peratus atau RM109 juta kepada RM548 juta berkuat kuasa mulai tahun depan.
-- BERNAMA
