KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Beregu Wanita Rosman Razak mengakui beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah masih dibelenggu cabaran untuk kekal konsisten ketika beraksi di perlawanan antarabangsa baru-baru ini.

Beliau berkata pasangan nombor lima dunia itu, masih belum mencapai kemampuan sebenar mereka selain masih banyak perkara yang perlu diperbaiki setakat ini.

"Mereka masih belum sampai ke tahap sebenar. Masih ada banyak benda perlu diperbaiki tapi ada beberapa peningkatan daripada kejohanan.

"Masalah konsistensi, sebab setiap perlawanan mempunyai situasi berbeza. Kita perlu teruskan lagi dan cuba untuk selesaikan masalah itu, tetapi saya rasa itu caranya untuk kita bergerak ke hadapan," katanya selepas sesi latihan skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini hari ini.

Baru-baru ini, Pearly-Thinaah gagal mara ke separuh akhir Seluruh England apabila disingkirkan gandingan Jepun Nami Matsuyama-Chiharu Shida 17-21, 19-21 pada aksi suku akhir.

Mereka sebelum itu turut tersingkir pada suku akhir Terbuka Orleans apabila ditewaskan pasangan China Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 15-21,19-21.

Dalam pada itu, Rosman berkata Pearly masih memerlukan rawatan rehabilitasi susulan kecederaan ringan yang dialaminya sebelum ini.

"Kecederaan itu tidak begitu serius, tapi ada sedikit jadi minggu ini dia banyak buat rehabilitasi dengan dengan Institusi Sukan Negara (ISN). Harap dia boleh kembali semula ke gelanggang minggu depan.

"Kita tetap akan pantau Pearly, jika beliau sesuai untuk main Kejohanan Badminton Asia April ini," katanya.

-- BERNAMA