Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja'afar berkata dalam kejadian 11.32 pagi semalam anggota Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Petaling Jaya, telah mengejar kereta Proton Satria dinaiki kedua-dua suspek yang bertindak melanggar kereta MPV polis serta sebuah motosikal yang ditunggang oleh orang awam.
Beliau berkata kedua-dua suspek berumur 30 dan 29 tahun itu berjaya ditahan di Jalan PJU 1a/1 Ara Damansara, selepas adegan mengejar selama 30 minit.
"Hasil pemeriksaan lanjut, sejumlah dadah dipercayai jenis syabu anggaran berat 12.87 gram telah ditemukan di dalam kenderaan suspek bersama-sama senjata dipercayai jenis electric shock wave.
"Suspek pertama yang merupakan pemandu kenderaan mempunyai 11 rekod jenayah dan lima rekod jenayah narkotik, manakala suspek kedua mempunyai satu rekod jenayah lampau," katanya dalam kenyataan semalam.
Shahrulnizam berkata kedua dua suspek telah dibawa ke IPD Petaling Jaya dan siasatan dibuka di bawah Seksyen 307/186/279 Kanun Keseksaan, Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222," katanya.
-- BERNAMA