Ketua Pengarah JAKIM Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya oleh Unit Komunikasi Korporat (UKK) JAKIM kira-kira 8.30 pagi.
"Ada beberapa hantaran yang dimuat naik itu menjurus kepada penghinaan kepada agama Islam, al-Quran dan Nabi Muhammad S.A.W dan ia menimbulkan suasana kurang senang terutama dalam kalangan umat Islam sendiri.
"Kita serahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk jalankan siasatan, seterusnya tindakan mengikut lunas perundangan sedia ada," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Pengarah JAKIM Sempena Program Kampung Angkat MADANI di Masjid Al-Munariah, Kampung Menora di sini hari ini.
Pada 16 Mac lepas, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata sebarang bentuk penghinaan terhadap agama khususnya Islam tidak boleh dibiarkan dan perlu diambil tindakan tegas bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.
Sirajuddin berkata pihaknya turut mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan sebarang provokasi atau tindak balas berhubung penghinaan terhadap agama itu yang dilakukan segelintir pihak tidak bertanggungjawab.
Menurutnya tindakan itu bukan hanya merugikan malah mampu mencetuskan ketegangan yang berlarutan tanpa sebarang penyelesaian.
"Kita nak nasihatkan kepada masyarakat Islam agar perkara seumpama ini tak perlu kita sebarkan. Tak payah juga kita lawan kerana ia akan memanjangkan lagi isu ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga terbuka untuk mengadakan sesi perbincangan dan pencerahan dengan orang bukan Islam berhubung sesuatu isu yang mampu menganggu-gugat keharmonian kaum serta agama di negara ini.
Mengulas mengenai program hari ini, Sirajuddin berkata seramai 50 anak yatim daripada Rumah Kanak-Kanak Kuala Kangsar diraikan dalam majlis berkenaan dan mereka turut menerima sumbangan duit raya serta kelengkapan harian.
"Program ini juga secara amnya bertujuan berkongsi rezeki selain mengimarahkan Ramadan dengan aktiviti yang memberi manfaat kepada semua golongan termasuk anak yatim," katanya.
-- BERNAMA
