Pakar perladangan yakin bahawa tindakan multilateral bagi menangani pencemaran adalah penting walaupun usaha berterusan oleh pelbagai pihak dari Indonesia, Malaysia dan Singapura bagi menangani masalah jerebu.

Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) Kementerian Alam Sekitar dan Air, Dr Nagulendran Kangayatkarasu berkata lebih banyak dialog dan aktiviti perlu diadakan bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan sektor swasta, masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan untuk berbincang secara terbuka bagi mencari penyelesaian berkenaan.

Bercakap semasa sesi webinar yang dihoskan Sime Darby Plantation Bhd (SDP), beliau berkata isu jerebu ASEAN memerlukan lebih banyak penglibatan antarabangsa dan dana memandangkan ia memberi impak global.

"Kita mempunyai Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Rentas Sempadan (ATHP) yang telah diratifikasi oleh 10 anggota dan ia merupakan platform sangat penting untuk menangani isu ini berikutan prinsip kita untuk tidak campur tangan dalam urusan domestik antara satu sama lain.

"Bagaimanapun, ia adalah platform penting kepada 10 negara anggota untuk sama-sama berbincang selain mendapat sokongan antarabangsa agar ia kekal dan terus berfungsi," katanya.

Bagaimanapun, Nagulendran melahirkan kebimbangan bahawa terdapat negara yang masih mengambil tindakan unilateral misalnya mewujudkan akta pencemaran jerebu rentas sempadan mereka sendiri.

Beliau berkata Malaysia mengambil keputusan untuk tidak membuat penyelesaian seumpama itu kerana ia mencampuri kedaulatan negara-negara lain.

Beliau berkata jerebu yang melanda Asia Tenggara pada 1997 adalah bencana kualiti udara yang terbesar, namun negara-negara tampil bekerjasama.

"Ia adalah kerjasama antarabangsa. Warga Jepun, Kanada, Malaysia dan Indonesia bekerja dengan cemerlang, anggota bomba kita ke Indonesia untuk membantu memadamkan kebakaran. Semangat dan kerjasama seumpama itu perlu diwujudkan semula dan saya berpendapat itulah kaedah menanganinya," katanya.

Beliau berkata penglibatan teknologi turut memainkan peranan utama sebagai antara jalan penyelesaian.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Minyak Sawit Indonesia, Joko Supriyono berkata berdasarkan data laporan kebakaran di negara itu, amaran kebakaran Indonesia oleh kawasan penggunaan tanah (2015-2019) adalah dari luar kawasan konsesi.

Pada 2019, 68 peratus daripada amaran kebakaran oleh kawasan penggunaan tanah adalah dari luar konsesi, diikuti ladang kayu pulpa (15 peratus), konsesi minyak sawit (11 peratus) dan konsesi pembalakan (lima peratus).

Mengulas selanjutnya, Ketua Pegawai Kelestarian SDP, Prof Simon Lord berkata pihak berkepentingan harus bertanggungjawab walaupun konsesi minyak sawit hanya menyumbang sebanyak 11 peratus.

"Kita perlu menangani semua masalah ini dan tidak boleh melakukannya bersendirian. Wujud saranan untuk mengikuti Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit dan bekerjasama dengan industri serta kerajaan.

"Kita telah mendengar beberapa penyelesaian, namun kita masih belum mempunyai penyelesaian bagi mengatasi isu jerebu dan perlu mengambil tindakan yang berbeza.

-- BERNAMA